Monday, 20 October 2014

Sahabat Selamanya

     Puas sudah Humaira menasihati rakan serumahnya yang semakin hari semakin tidak terurus. Risau dihati semakin hari semakin bertambah apabila Asyikin tidak mahu menjamah makanan, walaupun sedikit. Nasib baik suruhan agama tidak ditinggalkan, malah semakin hari semakin bertambah. Asyikin terus berada dalam khayalannya. Lukisan di tangan ditatapnya tanpa jemu. Kalau sehari tidak pandang, boleh menjadi tidak tentu arah jadinya.
     “Belum tidur, Asy?” Tanya Humaira yang menjengah secara tiba-tiba. Asyikin tersentak dengan teguran itu, lantas segala ingatan lalu hilang serta-merta. Segera dia menoleh kepada Humaira yang sudah berdiri di sebelahnya sambil menghadiahkan sebuah senyuman. “Awak ni Aira, suka sangat buat saya terkejut” omel Asyikin. Humaira tersengih. “Eh, awak yang sibuk meneliti lukisan tu, sampai saya masuk bilik awak pun awak tak sedar…” Humaira membalas omelan rakannya itu sambil berpeluk tubuh.
     “Saya rindukan Malaysia” akui Asyikin sambil sambil membuang pandangan jauh ke luar. “Asy, kita kat tempat orang ni. Janganlah ikutkan sangat perasaan awak tu. Kalau diikutkan hati, saya lagi rindukan rumah saya, tapi apa saya boleh buat. Lainlah kalau saya ni ada tongkat sakti, bolehlah sekejap sana dan sekejap sini” tambah Humaira sambil berjenaka. Asyikin tersenyum lebar mendengar celoteh temannya.
     Selepas mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaanya. Asyikin ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di University of London yang terletak di Kota London. Sesuatu yang sangat tidak dijangka. Demi mengejar cita-cita, Asyikin pergi ke Kota London berbekalkan semangat daripada ahli keluarganya dan insan yang istimewa. Bukan sesuatu yang mudah untuk seorang gadis sepertinya mendiami bumi asing yang penuh dengan gejala barat yang tidak selalu dilihat.
     “Awak tahu tak, Aira… kalau awak tak ada mesti kucar-kacir hidup saya di sini” luah Asyikin dengan nada suara yang sedikit kendur. Asyikin berlalu ke birai katil sebelum merebahkan badannya ke atas tilam empuk itu, manakala Humaira pula melangkah perlahan ke arah daun pintu. “Awak tidurlah, saya pun dah mengantuk ni. Awak jangan sambung mengelamun pula nanti…” pesan Humaira. Humaira berlalu pergi sambil menahan gelodak di hati.
     Mata Asyikin masih terbuka luas. Asyikin akhirnya memejamkan mata dan memaksa diri untuk tidur walaupun hakikatkan segala memori silam telah menghilangkan rasa mengantuknya. Asyikin terlelap dengan harapan dia akan menjalani hari esok dengan lebih tabah.
    MASIH jelas dalam ingatannya, saat dia mengenang kembali kejadian yang terjadi kepadanya ketika dia masih di bangku sekolah menengah. Lewat petang itu, terdengar bertalu-talu ketukkan pintu di kamar Asyikin, belum pun sempat Asyikin memulas tombol pintu, daun pintu itu terlebih dahulu dikuak dari luar.
     “Laaa, belum siap lagi ke? Kita kan dah lambat ni…” tegur ibunya, Noriah ketika melihat Asyikin masih menyarung t-shirt dan jean paras lututnya. Asyikin sudah diingatkan berkali-kali tentang pertemuan dengan abang kandungnya, Abdul Rahim yang telah lama menetap bersama nenek tirinya di Singapura. Asyikin mendapat tahu bahawa dia mempunyai seorang abang apabila dia secara tidak sengaja terkuis sebuah lukisan di bawah meja makan. Lukisan itu telah dimakan usia sehingga warna padanya mulai pudar.
     Pada belakang lukisan itu tertera ‘Abdul Rahim bin Najmuddin. Singapura”. Ibunya mula menceritakan tentang asal usul abangnya apabila didesak beberapa kali. Hal ini menyebabkan Asyikin sukar menerima realitinya bahawa dia bukanlah anak sulung tetapi anak kedua.
     “Asy…” Humaira menyentuh kedua-dua belah bahu Asyikin dah  membuatkan gadis itu tersentak daripada lamunannya yang panjang. Lama sungguh kenangan lalu singgah di ruang ingatan Asyikin sehingga dia tidak sedar masa sudah berlalu dengan pantas. Asyikin hanya menyepi. Pertanyaan Humaira bagaikan tunggul. “I’m talking to you, Najmina Asyikin” tegas Humaira dengan nada yang sedikit tinggi.
     “Kau tanya apa tadi?” Asyikin menyoal acuh tak acuh. Humaira mendekati sahabatnya itu. “Asy, awak perlu kawal emosi awak. Jangan sampai ia memakan diri awak sendiri. Dia dah tiada dah, Asy. You need to face the reality” pesan Humaira. “Awak tahu tak? Dia sangat sayangkan awak sebagai adiknya. Saya yakin dia bagi lukisan itu kepada awak bukan nak awak sedih, kalau dia tahu lukisan itu akan buat awak sedih, mesti dia tak bagi dekat awak” tambah Humaira lagi. Sudah menjadi kewajipannya untuk menasihati teman serumahnya itu agar tidak bersedih di atas kematian abangnya merangkap kekasih Humaira.
     Tiada guna dia belajar dalam bidang kaunseling sekiranya dia tidak dapat menasihati rakan karibnya itu. Asyikin tersenyum hambar lalu bangun menuju ke anak-anak tangga.
     “ASSALAMMUALAIKUM…” ucap Asyikin ketika melangkah masuk ke rumahnya. Sudah menjadi rutin hariannya untuk bersendirian bersama dua orang pembantu rumah setelah penat di sekolah. Ibu bapanya sering sibuk dengan urusan kerja mereka. Asyikin berasa hairan tentang suasana rumahnya yang sedikit berselerak pada hari itu. “Cik Mah…” panggilk Asyikin tetapi tiada jawapan.
     Asyikin berjalan lemah ke arah dapur untuk mengisi perutnya yang berkeroncang minta diisi tanpa mempedulikan suasana rumah yang tidak seperti kebiasaan. Kebiasaannya rumah itu akan bersih dan teratur. Tanpa dia sedari ada sepasang mata yang memerhati, menunggu masa untuk menerkam mangsa.
     Asyikin membuka peti sejuk untuk mengeluarkan botol berisi air, belum pun sempat mencapai botol itu, Asyikin terjatuh di lantai dapur apabila ada tangan menolaknya. “Mana keluarga kau simpan semua barang berharga?!”. Dunia seakan-akan gelap pada saat itu. Mujurlah abangnya, Abdul Rahim membantu sehingga perompak itu berjaya ditangkap. Asyikin mula tahu betapa pentingnya untuk memiliki seseorang yang boleh melindungi dan menjaganya ketika ketiadaan ibu bapa di sisi.
     Sejak itu, Asyikin mula menerima kedatangan abangnya. Beberapa hari setelah kejadian itu berlaku, di malam yang suram di temani bulan dan bintang. “Asy, macam mana kalau abang tak dapat lindungi Asy lagi selepas ni?” soal abangnya secara tiba-tiba. “Emm… kalau macam tu, ibu dan ayah pasti akan marah abang sebab tak lindungi anak kesayangan mereka” jawab Asyikin dan menjadikan mereka ketawa bersama.
     Tanpa disedari air mata laju menuruni pipi apabila teringat peristiwa yang menjadikan dia rapat dengan abang yang suatu ketika dahulu tidak tahu akan kewujudannya. Kata-kata abangnya itu masih terngiang-ngiang di telinga bagaikan baru berlaku. Perlahan-lahan dikesat air mata apabila Humaira mendekati.
     “DOKTOR… Doktor… Cepat…Kita ada emergency case, sekarang ni…” Asyikin yang mendengar laungan jururawat itu, turut bergegas ke wad kecemasan. Entah kenapa, dada ini berdegup kencang bagaikan ada perkara yang berlaku walhal kedatangannya ke hospital yang popular di Kota London itu hanyalah untuk melawat rakannya. ‘Ya Allah, janganlah ada apa-apa berlaku…” Asyikin cuba menenangkan hatinya.
     “Siapa pesakit tu?” tanya Asyikin kepada salah seorang jururawat yang bertugas di luar wad kecemasan. “Pesakit tadi?... Sekejap…biar saya semak… Namanya Encik Abdul Rahim bin Najmuddin”. Mendengar saja nama Abdul Rahim bin Najmuddin terus membuatkan Asyikin terkejut kerana mustahil untuk seseorang itu memiliki nama yang sama dari depan hingga belakang dengan seseorang yang lain.
     “Emm… saya pergi dulu…” terus Asyikin tersedar dari lamunannya apabila jururawat itu meminta diri setelah menunjukkan arah ke wad pesakit kanak-kanak. Suasana seperti ini sama seperti yang dilaluinya suatu ketika dahulu. Suasana yang Berjaya mengumpulkan kesemua ahli keluarganya untuk terbang dari Malaysia ke Kota London walhal pengumpulan kesemua ahli keluarga amat sukar untuk dilakukan.
     Siapa sangka, sehingga ke hari ini, gadis ini masih tidak tahu dan sukar untuk bertanya kepada orang tentang bagaimana abangnya boleh meninggalkan dunia sekali gus meninggalkannya seorang diri tanpa peneman.
     PADA satu petang di musim sejuk. “Aira… Saya nak tanya awak sesuatu… boleh?” tanya Asyikin. “Sudah tentu…” jawab Humaira tertanya-tanya. “Macam mana abang saya … ?” Asyikin tidak mampu mengungkapkan perkataan itu dan cuba untuk bertanya dengan menggunakan isyarat pergerakan.
     “Awak yakin awak boleh terima jawapan ini dengan hati yang terbuka?” tanya Humaira semula. “Awak yakin awak dah bersedia dari segi fizikal mahupun emosi?” soal Humaira lagi meminta penjelasan khuatir keadaan Asyikin akan bertambah buruk. Cukuplah masalah yang satu ini. Sebagai seorang sahabat yang baik dan sayang akan sahabatnya, dia tidak mahu melihat Asyikin murung dan bukan seperti Asyikin yang dahulu.
     Soalan Humaira itu menjadikan Asyikin berfikir panjang. ‘Bersediakah aku?’ tanya Asyikin kepada dirinya. ‘Mampukah aku mengawal emosi aku sekiranya jawapan yang bakal aku dengar ini sangat menyakitkan aku?’ tanya Asyikin lagi.
      “Humaira… Saya rasa saya dah bersedia. Saya dah lama kumpul tenaga saya untuk tanya soalan ini, maka inilah masa yang sesuai” jawab Asyikin dengan tenang walaupun masih ada getaran di suaranya. “Ingat tak Rahim pernah talefon kita dari Jepun?” tanya Humaira. “Ingat…” jawab Asyikin lemah. “kan dia cakap… dia nak datang melawat kita di sini… sebab dia rindukan adik kesayangannya and me” terang Humaira lagi sambil berjenaka.
     Asyikin ketawa kecil apabila teringat memori itu. “Ketika dia dah tiba di lapangan terbang utama London, dia talefon saya. Katanya nak saya jemput dia di sana dan dia pesan untuk tidak membawa Asy sekali sebab dia ingin membuat kejutan bersempena dengan hari lahir Asy yang terdekat dengan hari kejadian” terangnya lagi. Memang benar kejadian dia mendapat berita yang menghancurkan hatinya sekali gus menggelapkan dunianya berlaku beberapa hari sebelum hari lahirnya.
     “Tapi pada waktu itu, jalan sesak dan menjadikan saya tiba di lapangan terbang lewat sejam dari waktu yang dijanjikan” Humaira mulai mengeluarkan air matanya. “Kalaulah saya cepat sikit pada waktu itu, kalaulah jalan tidak sesak…” luah Humaira. Keadaan menjadi terbalik pada waktu itu, apabila Asyikin pula yang memujuk Humaira agar meneruskan ceritanya. Jika pada waktu sebelum ini, Humaira yang kebiasaannya memujuknya. ‘Maafkan aku Aira, aku tak sedar yang kau juga lalui waktu dimana kau perlukan aku, tapi aku masih melayani emosiku’ rintih hati kecil Asyikin.
     “Bila saya datang di lapangan terbang, kelihatan di depan pintu utama ramai orang berkumpul. Pada saat itu, saya tanya salah seorang pengunjung. Dia kata ada seorang jejaka yang tampan mengalami kemalangan di situ. Di sisinya terdapat sebuah anak patung, yang awak selalu Nampak ada pada saya tu… dan lukisan yang dia hadiahkan kepada awak tu…” terang Humaira lagi. Kali ini kedua-dua orang gadis itu, mula berpelukan antara satu sama lain. Melepaskan tangis masing-masing yang sudah lama disimpan.

     “Mereka cakap, Rahim cuba menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan daripada dilanggar kereta tepi malangnya dia pula yang dilanggar…” esakan Humaira mula kuat.  Pada saat itu, rumah itu, di ruang tamu itu menjadi saksi akan semua cerita yang tersimpan telah diluahkan dan mereka berjanji untuk tidak mengungkit kisah pahit itu selagi emosi kedua-dua orang gadis itu masih belum baik sepenuhnya.

NOTE: Sebenarnya, ini adalah cerpen untuk PBS BM Band 6. :)) Just want to share w/ all of you hasil karya saya. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...